ANKARA: Malaysia dan Turkiye memeterai tujuh dokumen penting bagi memperkukuh kerjasama strategik dua hala merentasi pelbagai sektor keutamaan.
Perjanjian ini sekali gus membuka lembaran baharu hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara dokumen utama yang ditandatangani ialah Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Turkiye, yang dijangka merancakkan aliran pelaburan, perkongsian teknologi serta peluang perniagaan baharu.
Menurutnya, kerjasama itu akan memperkukuh keyakinan pelabur dan menyokong agenda pembangunan ekonomi mampan kedua-dua negara.
“Kesemua dokumen yang dimeterai mencerminkan kesepakatan Malaysia dan Türkiye untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi, berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selain MoU MIDA–Invest Türkiye, turut dimeterai ialah Surat Tawaran (LoA) perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 antara Kementerian Dalam Negeri dan Desan Shipyard; MoU Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa ICT Türkiye; MoU Kerjasama Penyelidikan antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan SETA Foundation serta MoU Kerjasama Kewangan antara EXIM Bank Malaysia dan Türk Eximbank.
Turut berlangsung pertukaran minit mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia–Türkiye dan Deklarasi Bersama penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC).
Anwar berkata, kedua-dua negara komited memastikan semua kerjasama dilaksanakan secara berdisiplin, telus dan berkesan agar memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Baca juga:








