4 pemandu mabuk ditahan polis


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Empat pemandu lelaki dilaporkan telah memandu kenderaan dalam keadaan mabuk dan kini ditahan dalam satu operasi Mabuk, lewat malam tadi.

Operasi itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kluang di sekitar bandar Bandar Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata keempat-empat individu terbabit merupakan warga tempatan dalam lingkungan umur 25 hingga 26 tahun.

“Kesemua tangkapan telah ditahan dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama dua hari sehingga 24 Februari 2025.

“Kes tersebut juga turut disiasat dibawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana memandu atau menjaga kenderaan bermotor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan.

“Jika disabitkan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM 30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakkan lesen selama dua tahun,” ujarnya.

Dalam operasi sama, seramai 23 individu bersama 20 kenderaan telah diperiksa.

Daripada jumlah tersebut, lapan keping saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan trafik.

Untuk mengelakkan perkara sebegini berulang kembali, operasi sedemikian akan dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin dan dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang kecelakaan.

Anda Mungkin Berminat