4 wanita terselamat daripada jadi mangsa eksploitasi seks

Polis Johor menyelamatkan empat wanita warga India yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks, pada Sabtu

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, sekumpulan wanita berusia 24 hingga 39 tahun itu diselamatkan sepasukan polis dari cawangan kongsi gelap, judi dan maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, pukul 2.15 petang.

Katanya, kesemua mangsa diselamatkan hasil serbuan yang dijalankan di sebuah pangsapuri di kawasan Larkin Idaman, Johor.

“Dalam serbuan sama, polis juga berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan wanita warga India berusia 36 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan transporter.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas tangkapan mendapati lelaki terbabit positif dadah methaphetamine,” katanya.

Tambah beliau, siasatan polis mendapati kesemua mangsa ke Malaysia dengan tawaran kerja di bahagian Teknologi Maklumat (IT) dan sebagai pembantu rumah.

Bagaimanapun, katanya, kesemua mangsa dikurung setibanya di Malaysia dan dipaksa menjadi pelacur dengan bayaran gaji RM2,300 sebulan.

“Kedua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 22 Mac depan, manakala perintah perlindungan sementara bagi kesemua mangsa dibenarkan selama 21 hari bermula hari Sabtu hingga 5 April,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat