SHAH ALAM: Seramai 400 penunggang motosikal ditahan selepas didapati terbabit dalam aktiviti lumba haram di Kilometer 0.5, Plaza Tol Bukit Raja awal pagi tadi.
Operasi bersepadu berkenaan melibatkan 100 pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan JSPT Kontinjen Selangor, bersama 10 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, DCP Mohd Rozi Jidin, berkata operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai kegiatan lumba haram dengan aksi berbahaya di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, kami turut mengesan seorang remaja berusia 15 tahun yang masih bersekolah dan tidak memiliki lesen motosikal turut terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ini.
“Hampir semua penunggang yang ditahan didapati menunggang dalam keadaan berbahaya serta mengancam keselamatan pengguna lebuh raya lain,” katanya, memetik Berita RTM pada Ahad.
Menurut beliau, Ops Bersepadu Motosikal itu dijalankan bermula jam 10.30 malam hingga 4.30 pagi, dan tindakan lanjut termasuk saringan kesalahan serta ujian air kencing sedang dijalankan terhadap kesemua yang ditahan.
“JSPT telah beberapa kali menjalankan operasi di kawasan Plaza Tol Bukit Raja ini. Berdasarkan pemerhatian, lokasi ini sering dijadikan tumpuan bagi aktiviti lumba haram terutama pada malam hujung minggu,” jelasnya.
Dalam pada itu, DCP Rozi turut menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka, khususnya golongan remaja, supaya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram yang jelas membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.
Beliau menegaskan, pihak polis akan terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras gejala lumba haram yang bukan sahaja mengancam nyawa, malah menimbulkan ketidaktenteraman awam.
Baca juga:







