41 Pemandu Mabuk Termasuk Dua Wanita Ditahan Di Johor

Oleh: Hanim Nadia

JOHOR BAHRU: 41 individu termasuk dua wanita ditahan selepas dikesan memandu dalam keadaan mabuk dalam satu operasi khas di seluruh Johor.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, Op Mabuk yang dijalankan sejak 23 Ogos hingga 25 Ogos lalu, ia susulan kesedaran masyarakat mengenai bahayanya pengambilan alkohol ketika memandu masih lagi rendah dan sangat membimbangkan.

“Kesan alkohol tanpa kita sedar menyumbang kepada kemalangan dan kematian. Jangan leka dengan keseronokan sehingga mengabaikan aspek keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam operasi ini seramai 39 pemandu lelaki dan dua wanita ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Kumar berkata, pindaan Seksyen 45A(1) APJ 1987 yang dibuat kerajaan dengan tujuan memberi pengajaran dan hukuman yang setimpal kepada pesalah alkohol berkuat kuasa 22 Oktober 2020 itu menunjukkan betapa seriusnya isu berkenaan.

“Selepas beberapa insiden yang tular di media sosial sehingga meragut nyawa yang tidak berdosa kesan daripada memandu dalam pengaruh alkohol, akta ini dipinda kerajaan, bagaimanapun, masih terdapat pemandu yang tegar mengambil alkohol ketika memandu dan seolah-olah tidak gerun dengan hukuman yang dikenakan,” katanya.

Mengulas lanjut Op Mabuk itu, Kumar berkata, sebanyak 625 saman turut dikeluarkan dengan seorang lelaki ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Sebanyak 625 keping saman PDRM, 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 1,824 individu serta 1,585 buah kenderaan turut diperiksa.

“Semua 42 individu yang ditahan berusia antara 25 hingga 68 tahun dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada masa sama, Kumar berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor (JSPT) akan terus menjalankan Op Mabuk itu dalam memastikan kesalahan terbabit dapat dibendung secara berterusan melalui pendekatan konsep ‘total enforcement’.

“Tiada kompromi terhadap golongan ini dan hukuman berat serta setimpal menunggu jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat