Seramai 42 individu warga asing ditahan di lokasi ‘panas’ sekitar Taman Desa Cemerlang, Johor pada Khamis berniaga tanpa lesen menerusi Ops Mahir dan Ops.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, tangkapan telah dibuat di sebuah premis rumah kedai yang disyaki menjalankan perniagaan tanpa lesen memproses dan membungkus keropok ikan yang diimport dari negara Thailand.
“Pihak kami mendapati lapan lelaki warga Thailand yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).
“Dalam operasi berasingan di lokasi sama, seramai 13 lelaki dan tujuh perempuan warga Myanmar, empat lelaki warga Bangladesh, enam perempuan Indonesia, dua lelaki dan seorang perempuan warga India serta seorang lelaki warga Pakistan telah ditahan.
“Kesemua yang berkenaan, dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor memberi peringatan kepada pemilik premis dan majikan bahawa Jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melindungi pendatang tanpa izin (PATI).
PATI turut ditegaskan untuk menyertai Program Repatriasi Migran (RM) yang telah bermula pada 1 Mac sehingga 31 Disember 2024 yang bertujuan membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela.
Baca juga: