4,428 Anggota ATM Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 menerusi pelaksanaan Operasi MURNI (Op MURNI), operasi bantuan kemanusiaan yang digerakkan bagi menyokong Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ATM memastikan setiap elemen keanggotaan, aset dan sistem kawal selia berada pada tahap optimum bagi menghadapi risiko bencana yang dijangka berlarutan sehingga Mac 2026.

Sebagai persiapan tambahan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, dilantik sebagai pengelola operasi Op MURNI tahun ini. Cawangan Operasi dan Latihan Tentera Darat (OPLAT TD) bertindak sebagai penyelaras utama dengan NADMA.

Seramai 4,428 anggota merangkumi Tentera Darat, TLDM dan TUDM telah disiapsiagakan, bersama 506 aset darat, 7,355 aset perairan dan 19 aset udara bagi meliputi kawasan berisiko seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Khaled, kesiapsiagaan itu membuktikan peranan ATM bukan sekadar mempertahankan kedaulatan negara, tetapi menjadi tonggak penting dalam perlindungan rakyat selaras prinsip Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) dan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Beliau turut menegaskan ATM komited memperkukuh koordinasi antara agensi bagi memastikan bantuan dapat digerakkan pantas ketika bencana.

Turut hadir pada sesi taklimat ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman; dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Op MURNI merupakan operasi tahunan ATM yang digerakkan semasa musim monsun bagi membantu pemindahan, penyelamatan dan sokongan logistik kepada mangsa banjir.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat