PUTRAJAYA: Sebanyak 445 tindakan undang-undang telah diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali 2025, yang berlangsung dari 16 hingga 22 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, skim itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kestabilan harga barangan keperluan asas serta melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak munasabah ketika musim perayaan.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP adalah selama tujuh hari, merangkumi empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepasnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sebanyak sembilan jenis barangan telah diwartakan sebagai barangan harga terkawal sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan harga kekal stabil dan tidak membebankan rakyat.
Sepanjang penguatkuasaan skim katanya, sebanyak 4,560 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis borong, pengeluar dan peruncit di seluruh negara.
Azman berkata, daripada jumlah itu, 433 kes melibatkan kegagalan menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu, enam kes tiada tanda harga, dan enam lagi kes menjual barangan melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
“Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM16,078.40, manakala kompaun yang dikenakan terhadap peniaga yang melanggar peraturan mencecah RM53,500.00,” katanya.
Menurut Azman, majoriti peniaga memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi peraturan harga maksimum sepanjang pelaksanaan skim tersebut. Beliau turut memaklumkan bahawa maklum balas orang ramai terhadap SHMMP Deepavali 2025 adalah positif dan pelaksanaannya berjalan lancar.
KPDN turut merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan para peniaga atas komitmen mereka dalam menjayakan skim ini, yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menangani tekanan kos sara hidup rakyat.








