4,500 Doktor Kontrak Diserap Tetap, Elaun Atas Panggilan Dinaikkan 40 Peratus

PARLIMEN | Kerajaan MADANI meneruskan langkah tegas memperkukuh kebajikan petugas kesihatan dengan pengumuman penting dalam Belanjawan 2026 termasuk penyelesaian isu doktor kontrak dan peningkatan elaun pegawai perubatan yang telah lama tertangguh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak 2023 hingga 2025, sebanyak 1,500 jawatan tetap tambahan telah diluluskan bagi menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap, menjadikan keseluruhan 12,900 doktor kontrak telah diserap setakat ini.

“Tahun hadapan, kerajaan meluluskan 4,500 lagi doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap,” katanya semasa membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat, petang ini.

Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian terhadap keperluan jururawat dan pegawai kesihatan sokongan.

Tahun ini, 833 jururawat kontrak telah ditawarkan lantikan tetap, manakala pada 2026, 935 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) akan turut ditawarkan jawatan tetap.

Bagi sektor perubatan swasta, kerajaan bersetuju menyemak semula kadar fi perundingan pengamal perubatan am (GP) yang tidak berubah sejak 2006 dan kini dinaikkan daripada RM10 hingga RM35 kepada RM10 hingga RM80 bagi memberi fleksibiliti setimpal dengan tahap perkhidmatan ditawarkan tanpa membebankan rakyat.

Dalam usaha menghargai dedikasi petugas kesihatan awam, kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) yang tidak dikaji sejak 2011 yang akan dinaikkan sekitar 40 peratus berkuat kuasa 1 Oktober 2025 dengan peruntukan tambahan RM120 juta setahun.

Sebagai contoh, doktor pakar yang bertugas atas panggilan aktif pada hari cuti akan menerima elaun RM350, berbanding RM250 sebelum ini.

Langkah-langkah ini, kata Anwar, mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan kesejahteraan barisan hadapan kesihatan terus dijaga, sambil memastikan sistem perubatan negara kekal kukuh dan berdaya saing.

Anda Mungkin Berminat