KINABATANGAN: Sebanyak 36 pusat pengundian melibatkan 117 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mula dibuka serentak pada jam 7.30 pagi ini.
Kesemua pusat pengundian beroperasi sehingga jam 5.30 petang. Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan dua pusat mengundi ditutup pada jam 12 tengah hari, manakala 34 lagi ditutup secara berperingkat bermula jam 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut jadual yang ditetapkan.
SPR memaklumkan seramai 48,282 pengundi layak menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu bagi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada hari pengundian ini.
Proses penjumlahan rasmi undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Sri Lamag, dengan keputusan rasmi dijangka diumumkan sekitar jam 10 malam.
Memetik Bernama, seramai 1,106 petugas SPR ditugaskan bagi mengendalikan proses pengundian, dibantu 926 pegawai dan anggota polis yang bertugas untuk memastikan kelancaran serta keselamatan pada hari mengundi.

Sementara itu, pada Selasa lalu, SPR memaklumkan seramai 176 anggota polis atau 93 peratus daripada keseluruhan pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka bagi kedua-dua PRK berkenaan di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (Barisan Nasional), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas). Bagi DUN Lamag pula, pertandingan berlangsung satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Kesemua lima calon turut mengundi hari ini dengan Mohd Kurniawan Naim mengundi di SK Bilit, Saddi di SK Batu Puteh, Goldam di SK Pekan Tongod, Mohd Ismail di SK Bukit Garam II, manakala Mazliwati di SK Buang Sayang.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.
Beliau turut memenangi kerusi DUN Lamag dalam saingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu dengan majoriti tipis 153 undi.
Baca juga:








