SHAH ALAM: Sebanyak lima daerah di Selangor dilanda banjir kilat awal pagi tadi selepas hujan lebat tanpa henti sejak jam 1 pagi.
Menurut maklumat daripada Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah yang terjejas ialah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.
Antara kawasan terjejas di Petaling termasuk Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Tengah, Kampung Baru HICOM, Kampung Seri Aman, Kampung Padang Jawa serta laluan motosikal di Jalan Persekutuan, Shah Alam.
Di Klang, banjir kilat turut melanda kawasan seperti Bukit Payung, Taman Daya Meru, Pekan Meru, Taman Mutiara dan Taman Sri Muda.
Manakala di daerah Sepang, kawasan yang terkesan termasuk Kampung Abu Bakar Baginda, Sungai Merab dan Desa Vila Merab.
Laman Gahal dan Batu 14 merupakan kawasan terjejas di Hulu Langat, manakala Jalan Ayer Panas di Gombak turut dilaporkan dinaiki air.
Sementara itu, seramai 26 mangsa di Kampung Meru, Kapar, Klang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai.
Jumlah keluarga dan rumah terjejas masih dalam proses kemas kini.