Oleh: Kamilia Ali
SEGAMAT: Siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati lima daripada tujuh premis tidak patuh kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 berhampiran kawasan Perindustrian Segamat 2.
Menurut Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, kelima-lima premis berkenaan telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Tindakan berkenaan bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku yang seterusnya boleh mengganggu kesihatan awam.
“JAS juga sedang melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan perundangan ke atas premis-premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemantauan di kawasan tersebut akan diteruskan bagi mengenalpasti sekiranya masih terdapat premis memproses buangan terjadual yang beroperasi tanpa kelulusan JAS.
“Semua pihak industri diingatkan bahawa tindakan tegas di bawah AKAS 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar.
“AKAS 1974 yang telah dipinda dan mula berkuatkuasa pada 7 Julai 2024 telah memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda dan penalti di mana melibatkan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.

“Selain itu, kadar kompaun juga ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan,” katanya.
Justeru itu, pihak industri hendaklah memainkan peranan penting dalam memastikan operasi kilang atau premis mereka memenuhi semua keperluan perundangan dan tidak melakukan pencemaran alam sekitar.
Konsep pematuhan kendiri perlulah dibudayakan dan setiap tindakan atau keputusan yang diambil hendaklah mengambil kira elemen pengurusan alam sekitar yang baik.
Baca juga: