Sebanyak lima buah rumah terbakar di Blok 70, Tingkat 17, Flat Sri Sabah, Taman Kobena, Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.00 malam pada Ahad.
Difahamkan, penduduk setempat mendakawa kejadian ngeri ituberpunca daripada tindakan segelintir individu bermain mercun di kawasan berkenaan.
Menurut penduduk flat tersebut, Nurul Adirah Mohd Roslan, 26, berkata, ketika sedang meluangkan masa bersama keluarga di hadapan rumah, dia terdengar bunyi letupan mercun.
“Kami dengar bunyi mercun dari tingkat atas dan kira-kira 30 minit kemudian suasana menjadi hingar-bingar akibat kebakaran sebelum bomba tiba 30 minit kemudian,” katanya lapor Harian Metro.
Komander Operasi Kanan, TPgB II Mohd Hafizan Hassan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tetapi terdapat seorang mangsa wanita berumur 62 tahun mengalami sesak nafas, namun berada dalam keadaan stabil.
“Disebabkan kebakaran melibatkan lima buah rumah, bomba menggunakan teknik relay pumping melalui laluan tangga untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
“Pasukan pemadam kebakaran turut melakukan pengungsian bangunan bagi memastikan semua mangsa selamat,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Hafizan turut menyatakan jentera yang digunakan adalah dari bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak, BBP Sri Hartamas dan beberapa BBP yang lain.
Turut hadir ke lokasi kejadian, Pengarah JBPM Kuala Lumpur, PKPjB Muhammad Salleh Abdul dan Pengarah Bahagian Operasi, TPjB Nordin Pauzi.
Baca juga: