50 individu ditahan dalam serbuan kilang di Pelabuhan Klang

KLANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 50 individu dalam serbuan di sebuah kilang barangan kitar semula peralatan elektronik di Pelabuhan Klang, Selangor pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan tangkapan dilakukan terhadap 42 orang lelaki dan tujuh orang wanita warganegara asing.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 23 orang warga Bangladesh, 22 orang warga Myanmar, dua orang warganegara China dan seorang masing-masing warga Nepal dan Vietnam.

“Pihak JIM turut menahan seorang wanita warganegara tempatan yang disyaki sebagai penjaga premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Penahanan tersebut dilakukan setelah separuh daripada mereka menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang dimiliki dan bekerja di lokasi serbuan.

Selain itu, sebahagian daripada mereka telah tinggal lebih masa manakala mereka yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada dalam negara.

Dalam pada itu, pihak JIM turut merampas lesen majlis, dokumen syarikat, sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), rekod perniagaan, 10 naskhah pasport Bangladesh, tiga naskhah pasport Myanmar, dua unit telefon bimbit, satu set komputer, 22 keping kad perakam waktu dan wang tunai sebanyak RM2,900.

Kesemua yang ditahan telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, wanita yang merupakan penjaga premis tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Pihak JIM turut menegaskan bahawa mereka akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan untuk mengelakkan kebanjiran pendatang asing tanpa izin dalam negara.

Anda Mungkin Berminat