PETALING JAYA: Seramai 50 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini dilantik sebagai Duta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sabah dalam usaha memperluas penyampaian maklumat dan kempen literasi digital kepada masyarakat setempat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Program Duta NADI Sabah ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), UMS dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), yang bertujuan mendekatkan komuniti kepada pelbagai perkhidmatan pintar yang ditawarkan di Pusat NADI.
“Saya yakin pendekatan ini mampu memberikan impak tinggi kerana ia lebih mesra komuniti dan disampaikan oleh anak muda yang berasal dari kampung halaman masing-masing,” katanya.
Setiap sukarelawan akan diberikan latihan intensif sebelum memulakan advokasi di kawasan masing-masing, termasuk menyampaikan mesej seperti Kempen Internet Selamat (KIS) di sekolah, kampung dan pusat keusahawanan tempatan.
Sebanyak 25 Pusat NADI di seluruh Sabah telah dipadankan dengan kampung halaman para peserta bagi memastikan penyampaian lebih berkesan dan hubungan yang erat dengan masyarakat setempat.
Inisiatif ini juga membuka ruang lebih luas kepada komuniti pelbagai lapisan umur untuk lebih memahami fungsi Pusat NADI dan memanfaatkan kemudahannya seperti akses internet, latihan ICT dan perkhidmatan kerajaan digital.
Sabah menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan program Duta NADI sebagai inisiatif memperkasa komuniti dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan.
Baca juga:








