500 Kuota Tambahan Untuk Belia India Ikuti Program TVET Di China – Zahid

PUTRAJAYA: Program latihan teknikal dan vokasional (TVET) terus mendapat suntikan baharu apabila kerajaan mengumumkan tambahan 500 kuota khusus untuk belia kaum India mengikuti program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) – MITRA di China.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Majlis Apresiasi dan Pelepasan Peserta MCYTT-MITRA yang berlangsung pada Khamsi sebagai bukti komitmen kerajaan memperluas akses kepada pendidikan berkemahiran tinggi.

“TVET kini bukan lagi sekadar pilihan sampingan tetapi sudah menjadi ‘game changer’ negara dalam melahirkan tenaga kerja masa depan,” katanya.

Daripada keseluruhan 5,125 kuota yang diperoleh hasil lawatan rasmi beliau ke China, sebanyak 500 telah dikhususkan untuk belia India.

Menurut Zahid, bagi memastikan peluang ini tidak membebankan keluarga, kerajaan turut menyalurkan dana tambahan sebanyak RM3 juta melalui MITRA.

Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, Zahid turut mengumumkan tambahan 500 kuota lagi untuk komuniti India, menjadikan jumlah keseluruhan peluang yang tersedia lebih besar dan inklusif.

“Alhamdulillah, hari ini kita meraikan 147 peserta yang akan berangkat September ini, disusuli 178 peserta lagi pada Oktober dan November.

“Lebih membanggakan, dua universiti di China turut menawarkan biasiswa penuh dalam bidang logistik, automasi elektrik dan automotif,” katanya.

Beliau berkata, TVET adalah laluan masa depan yang menjanjikan kerjaya berimpak tinggi dan mampu mengubah nasib generasi muda Malaysia.

“Insya-Allah, kerajaan akan terus membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk anak muda Malaysia menjadi generasi berkemahiran tinggi, yakin diri dan mampu bersaing di pentas dunia,” katanya lagi.

Program MCYTT-MITRA ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China serta memperkasa belia melalui latihan teknikal bertaraf antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat