KUANTAN: Seramai 500 penerima eKasih menerima sumbangan Aidilfitri pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Parlimen Indera Mahkota yang berlangsung di Masjid Bukit Setongkol pada 12 Mac lalu.
Sumbangan berjumlah RM250 setiap seorang itu disampaikan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Menurut beliau, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Majlis tersebut turut dihadiri pimpinan masyarakat setempat, anak-anak yatim serta pelajar tahfiz, selain diserikan dengan pengisian rohani oleh Timbalan Mufti Pahang, Badli Shah Alauddin.
Beliau berkata, komitmen Kerajaan MADANI adalah untuk terus memartabatkan syiar Islam sebagai asas pembinaan masyarakat yang seimbang dan berakhlak.
“Kerajaan akan terus memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif dengan menitikberatkan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan kerohanian oleh kumpulan muzik tempatan, yang menambah suasana harmoni sepanjang acara berbuka puasa itu.
Ahmad Farhan berkata, program seumpama itu diharap dapat memperkukuh ukhuwah serta menyemai nilai kasih sayang dalam kalangan masyarakat, selaras dengan semangat Aidilfitri yang menekankan kesatuan dan kebersamaan.








