5,000 Hadirin Meriahkan Malaysiaku Berselawat Di Putrajaya

PUTRAJAYA: Suasana penuh syahdu dan penghayatan menyelubungi Pentas Utama Program Rancakkan MADANI apabila kira-kira 5,000 pengunjung membanjiri majlis Malaysiaku Berselawat, malam tadi.

Alunan selawat yang dipimpin oleh Habib Ali, Zul Ramli M. Razali, kumpulan Nur Ahli Badar dan Ahbabussyam bergema dengan penuh kesyahduan, menyatukan para hadirin dalam rasa cinta serta penghormatan kepada Rasulullah SAW.

Setiap bait yang dilantunkan menjadikan majlis tersebut bukan sekadar sebuah acara tetapi pengalaman rohani yang mendalam dan bermakna.

Turut menyerikan majlis ialah kehadiran tokoh-tokoh utama negara termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar serta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, pada sebelah petang, pentas utama turut menampilkan segmen istimewa bertajuk ‘Hijrah Artis – Dari Cahaya Pentas ke Cahaya Hidayah’.

Segmen tersebut menampilkan selebriti Zizi Kirana, Irma Hasmie dan Wan Sharmila, dengan pengendalian oleh Saiful Nang.

Kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, menambah seri kepada sesi perkongsian yang menyentuh hati tentang perjalanan hijrah dan pencarian makna kehidupan.

Program Rancakkan MADANI sekali lagi membuktikan peranannya sebagai wadah yang bukan sahaja menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat