5,000 perantau anak Pahang terima baucar minyak sempena Aidilfitri

PETALING JAYA: Seramai 5,000 perantau kelahiran Pahang yang menetap di luar negeri itu menikmati keistimewaan menjelang Aidilfitri menerusi program ‘Moh Balik Raya ke Pahang 2025’.

Program itu bukan sahaja memberikan baucar petrol atau diesel bernilai RM50 tetapi juga membawa mesej kasih sayang dan keterikatan antara rakyat dan negeri asal mereka.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program yang kini memasuki tahun kedua bertujuan meringankan beban perantau dan menggalakkan mereka kembali menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.

“Program ini adalah satu platform baik buat Kerajaan Negeri Pahang untuk berhubung erat dengan anak-anak Pahang, di samping berkongsi perkembangan terkini negeri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Majlis penyerahan baucar berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang (MAHASISWA), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin turut hadir bagi menyokong inisiatif itu.

Anda Mungkin Berminat