KUALA LUMPUR: Seramai 5,000 petugas termasuk sukarelawan dan anggota pelbagai agensi digerakkan dalam operasi mega pembersihan susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, operasi selama dua hari itu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan kawasan awam dan perumahan yang telah disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Alhamdulillah pagi ini saya cukup bersemangat melihat kehadiran hampir 5,000 petugas dan sukarelawan sempena ‘Ops Mega Pembersihan’ kawasan terkesan insiden kebakaran paip gas Putra Heights”
“Program dua hari anjuran MBSJ bersama UPEN dan Pejabat SUK Selangor ini melibatkan pembersihan di persekitaran rumah serta kawasan yang telah disahkan selamat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata sebanyak 264 unit kenderaan dan jentera digunakan dalam operasi termasuk lori water jetter, lori tangki air, lori RORO, backhoe, road sweeper, wood chipper, skylift dan kenderaan pacuan empat roda.
“Ops Mega Pembersihan merangkumi tujuh skop aktiviti utama termasuk pembersihan longkang, jalan, lorong belakang, kawasan parkir, tembok rumah, pemotongan pokok terbakar serta bantuan mengangkat barangan rumah yang rosak,” jelasnya.
Amirudin turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan meninggalkan mangsa yang terjejas dalam kejadian ini.

“Buat para mangsa Putra Heights, anda tidak bersendirian. Kami bersama anda dan akan terus membantu anda mengharungi ujian ini,” katanya.
Setakat ini, 307 kediaman telah dibenarkan untuk diduduki semula dan lebih banyak rumah dijangka dapat dihuni dalam masa terdekat selepas pembersihan selesai. Fokus seterusnya akan diberikan kepada proses sewaan dan baik pulih rumah yang rosak.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat mengingatkan semua sukarelawan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak memasuki kawasan ‘ground zero’ tanpa kebenaran.
“Tiada sebarang laporan kehilangan harta benda setakat ini dan kami mahu mengekalkan rekod ini. Semua sukarelawan dilarang sama sekali memasuki rumah yang telah diisytihar tidak selamat,” tegasnya.
Sebanyak 100 pegawai dan anggota polis ditempatkan bagi mengawal perimeter kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon bencana.
Baca juga: