50,940 Kotak Racun Makhluk Perosak Tidak Berdaftar Dirampas

KLANG: Jabatan Pertanian dengan kerjasama Cawangan Risikan Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas sejumlah 50,940 kotak racun makhluk perosak yang disyaki tidak berdaftar di Pelabuhan Utara Klang, semalam.

Menurut Jabatan Pertanian, racun jenis Zenden Micro Smoke itu boleh membahayakan kesihatan pengguna, mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan keselamatan makanan negara.

Katanya, operasi yang dijalankan sekitar jam 11.30 pagi itu diketuai oleh Ketua Operasi, Seksyen Penguatkuasa, Bahagian Kawalan Racun Makhluk Perosak dan Baja (BKRPB), Jabatan Pertanian.

“Pemeriksaan ke atas sebuah kontena menemui sebanyak 50,940 kotak produk “Zenden Micro Smoke (30g x5) yang disyaki tidak berdaftar, dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM147,726, antara rampasan terbesar direkodkan tahun ini.

“Operasi ini sebagai usaha membanteras kemasukan dan pengedaran produk pertanian yang tidak sah,” menurut kenyataan itu.

Menurut Jabatan Pertanian, tindakan tegas ini adalah bukti komitmen berterusan agensi itu dalam memastikan hanya produk racun makhluk perosak yang berdaftar dan selamat digunakan dalam sektor pertanian.

Untuk makluman, Akta Racun Makhluk Perosak 1974 memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Racun Makhluk Perosak iaitu mengimport racun makhluk perosak tanpa kelulusan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih empat tahun.

“Jabatan Pertanian menyeru agar semua pengusaha pertanian, pengimport dan pembekal mematuhi perundangan sedia ada serta memastikan produk yang digunakan adalah berdaftar dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Racun Makhluk Perosak.

“Sebarang maklumat berkaitan produk tidak berdaftar boleh disalurkan kepada Jabatan Pertanian atau pihak berkuasa untuk tindakan lanjut demi menjamin keselamatan dan integriti sektor pertanian negara,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat