PETALING JAYA: Sebanyak 53 lokasi bencana direkodkan di 10 negeri setakat pukul 10 pagi Isnin, melibatkan kejadian banjir, cerun runtuh serta kerosakan infrastruktur jalan, menurut laporan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam laporan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR Malaysia, bencana berkenaan menjejaskan 31 Jalan Persekutuan dan 22 Jalan Negeri, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Cerun runtuh dilaporkan sebagai kejadian paling kritikal dengan 22 lokasi terjejas, diikuti banjir di 15 lokasi, jalan runtuh di sembilan lokasi, jalan mendap di enam lokasi serta satu kejadian jambatan rosak atau runtuh.
Dari segi negeri terlibat, Perak, Kedah dan Pahang masing-masing mencatatkan empat daerah terjejas, manakala Kelantan dan Selangor pula merekodkan dua daerah setiap negeri.
Pulau Pinang turut melaporkan dua daerah terjejas, sementara Perlis, Melaka, Terengganu dan Johor masing-masing mencatatkan satu daerah yang terkesan.
JKR memaklumkan bahawa pemantauan rapi sedang dijalankan terutama di kawasan cerun dan laluan utama yang berisiko tinggi, susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengelakkan penggunaan laluan terjejas bagi mengurangkan risiko kemalangan serta kejadian tidak diingini.








