56 Kapal Global Sumud Flotilla Belayar Ke Gaza Dari Itali

KUALA LUMPUR: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) terus mendapat momentum apabila sebanyak 56 buah kapal dilaporkan telah memulakan pelayaran dari Pelabuhan Catania, Itali menuju ke perairan antarabangsa dalam usaha meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza.

Menurut kenyataan rasmi Sumud Nusantara Command Center (SNCC), pergerakan itu menyaksikan penggabungan armada dari Barcelona yang melibatkan 40 kapal bersama kumpulan dari Itali, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan flotila meningkat kepada 56 buah kapal.

“Penggabungan ini adalah sebahagian daripada penyelarasan strategik bagi memastikan misi kemanusiaan dapat diteruskan dengan lebih tersusun,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

SNCC turut memaklumkan bahawa beberapa kapal masih berada di pelabuhan Catania bagi menjalani kerja-kerja teknikal dan pembaikan sebelum dijangka menyertai semula armada utama dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 36 rakyat Malaysia yang terdiri daripada jurutera kapal, kapten, pasukan perubatan, kru serta peserta misi dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan bersemangat tinggi untuk meneruskan pelayaran.

“Keselamatan dan kebajikan semua kru terus menjadi keutamaan dan dipantau secara berterusan,” kata SNCC.

Sementara itu, tiga delegasi Malaysia iaitu Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Hidayah Mohd Amin telah diarahkan menukar peranan susulan beberapa kapal mengalami kerosakan serius.

Mereka kini telah kembali ke tanah air dan akan melaksanakan tugasan di Pangkalan SNCC Sepang, yang turut berfungsi sebagai pusat operasi serantau melibatkan penyelarasan dari tujuh negara.

SNCC menegaskan komitmen berterusan dalam menjayakan misi berkenaan serta menyeru orang ramai untuk terus memberikan sokongan moral dan mendoakan keselamatan keseluruhan armada.

“Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada SNCC sebagai sumber sahih bagi perkembangan misi ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat