Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Seramai 57 pekerja warganegara Bangladesh menuntut bayaran RM806,310 daripada Syarikat Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd pada November lalu.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia susulan beberapa isu antaranya lewat membayar gaji pekerja, bayaran kerja lebih masa dan juga penginapan tidak kondusif.
Menurut JTK, pihaknya telah menerima maklumat tersebut secara tidak rasmi pada September lalu.
“JTK Pelabuhan Klang telah menjalankan siasatan dan mendapati isu yang diketengahkan adalah berasas.
“Pihak pekerja telah dinasihatkan untuk memfailkan tuntutan kes buruh terhadap syarikat,” katanya pada Selasa.
Susulan itu, JTK telah membuka lapan kertas siasatan terhadap majikan dan penyedia penginapan atas kesalahan kelewatan membayar gaji, bayaran gaji secara tunai dan penginapan yang tidak mempunyai perakuan daripada JTK.
Tambahnya lagi, satu rundingan melibatkan JTK, wakil Kedutaan Bangladesh dan pihak syarikat telah diadakan pada 14 Disember lalu, namun, menemui jalan buntu.
“Pihak syarikat mengemukakan cadangan bayaran gaji tertunggak kepada pekerja secara ansuran sehingga September 2025 dan mendapat bantahan daripada pihak pekerja yang bertegas menuntut agar gaji mereka dibuat tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, perbincangan lanjut diadakan hari ini berkenaan proses pertukaran dengan majikan baharu yang akan ditentukan kelak di bawah program Pertukaran Majikan Khas (PTM).
Program ini melibatkan seramai 204 orang pekerja asing yang mempunyai permit sah.
“JTK akan memastikan isu yang dihadapi oleh para pekerja syarikat ditangani seadilnya dan kebajikan para pekerja ini terbela,” katanya lagi.
Baca juga: