Nurulhidayah tegur media suka guna gelaran ‘Anak Zahid’

PETALING JAYA: Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menegur kecenderungan segelintir media yang lebih gemar menggunakan gelaran ‘Anak Zahid’ berbanding menyebut namanya sendiri dalam laporan yang melibatkan dirinya.

Menerusi satu hantaran di Instagram, beliau meluahkan rasa kurang senang dengan perkara tersebut yang disifatkan seolah-olah menenggelamkan identitinya sebagai individu yang berdikari.

“Saya sedar siapa Abah saya dan bangga menjadi anak kepada Ahmad Zahid Hamidi. Tapi dalam masa sama, saya juga seorang individu yang ada pendapat, prinsip dan identiti sendiri,” katanya.

Jelas Nurulhidayah, setiap individu seharusnya dikenali berdasarkan usaha dan pencapaian sendiri, bukan semata-mata melalui hubungan keluarga.

“Bila media terus menggugurkan nama saya dan menggantikannya dengan label ‘anak Zahid’, ia seolah-olah menafikan peranan dan sumbangan saya dalam masyarakat,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar media berlaku adil dan beretika dalam membuat liputan dengan menghormati identiti setiap individu tanpa mengira latar belakang.

“Saya tak pernah minta dipandang tinggi. Tapi cukup sekadar gunakan nama saya iaitu Nurulhidayah Ahmad Zahid, sebagaimana media menyebut nama individu lain dalam konteks politik, sosial atau kerja masyarakat,” katanya.

Teguran terbuka itu turut mendapat perhatian warganet yang bersetuju bahawa seseorang wajar dikenali atas nama dan sumbangannya sendiri, bukan kerana warisan keluarga.

Nurul merujuk portal berita Malaysiakini yang menggunakan nama ‘anak Zahid’ dalam tajuk beritanya.

Anda Mungkin Berminat