KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 596 kes baharu tuberkulosis (tibi) direkodkan setakat Minggu Epidemiologi ke-6 tahun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini mencecah 3,161.
Mengikut pecahan negeri, Sabah mencatat jumlah kes baharu tertinggi iaitu 755, diikuti Selangor dengan 596 kes dan Sarawak sebanyak 332 kes.
Negeri lain yang turut merekodkan kes termasuk Johor (280), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (244), Kedah (181), Pulau Pinang (172), Perak (154) serta Kelantan (121).
KKM berkata, peningkatan kes bukan berpunca daripada bulan Ramadan, sebaliknya aktiviti sosial yang lebih kerap sepanjang bulan ini meningkatkan interaksi masyarakat dan sekali gus membuka ruang kepada penularan penyakit.
“Risiko penularan tibi boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh yang panjang di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan terutama jika terdapat individu dengan tibi aktif yang belum menjalani rawatan,” kata kementerian itu dalam kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, KKM mengingatkan orang ramai agar terus berwaspada dengan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di tempat sesak serta segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu atau menunjukkan gejala berkaitan tibi.
KKM menekankan bahawa langkah pencegahan itu amat penting bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan yang boleh membawa komplikasi serius sekiranya tidak dirawat.








