Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Kelantangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengkritik pelantikan pengendali kedua rangkaian 5G oleh kerajaan dipersoalkan kerana bersikap ‘pilih bulu’.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan (AMH), Ammar Atan berkata hal ini kerana Wan Saiful hanya berdiam diri ketika kerajaan terdahulu di bawah Perikatan Nasional (PN) mewujudkan monopoli melalui Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai pengendali tunggal 5G di Malaysia pada 2021.
“Tindakan ini jelas menunjukkan sikap hipokrit, apabila beliau hanya bersuara apabila kerajaan semasa membuat langkah membuka persaingan bagi pengendalian 5G,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan bahawa langkah kerajaan melantik pengendali kedua bertujuan untuk memastikan persaingan yang sihat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Dengan adanya persaingan, pengguna mendapat pilihan yang lebih baik dan harga yang lebih kompetitif. Ini jauh lebih baik berbanding monopoli yang hanya membenarkan satu penyedia,” tambahnya.
Menariknya, langkah kerajaan ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dalam sektor korporat, termasuk tokoh terkemuka, Tan Sri Vincent Tan, yang mengiktiraf inisiatif untuk membuka persaingan dalam sektor 5G.
Ammar turut mencabar Wan Saiful untuk mengemukakan bukti jika terdapat dakwaan penyelewengan dalam proses tersebut.
“Rakyat perlukan pemimpin yang berpegang pada prinsip dan komited demi kepentingan bersama, bukan sekadar lantang ketika situasi menguntungkan,” ujarnya.

Semalam dalam sidang media Parlimen, Wan Saiful mengingatkan hartawan, Vincent Tan agar tidak memberi komen berbaur politik kepartian. Hal ini susulan kenyataan Tan yang membela Yang di-Pertuan Agong di tengah-tengah kontroversi pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara.
Beliau menasihatkan Tan agar sedar akan kedudukannya dan turut memberi amaran bahawa orang awam boleh memboikot U Mobile pada bila-bila masa, yang boleh memberi kesan langsung kepada pengendali rangkaian mudah alih tersebut.