6 GLIC sedia labur RM120 bilion dalam tempoh 5 tahun

Oleh: Farah Faizal

KUALA LUMPUR: Enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberi komitmen secara kolektif untuk dana berjumlah RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu, ia juga melibatkan siri pelaburan GLIC di dalam pasaran modal awam yang bernilai RM440 bilion.

MOF dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pelaburan berkenaan disasarkan kepada industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (high-growth high-value; HGHV) seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor.

“la juga akan merangkumi pelaburan di seluruh kitaran perniagaan seperti syarikat pemula (start- ups), modal teroka (venture capital) serta syarikat peringkat pertengahan dan akhirnya untuk menyokong penyenaraian saham syarikat-syarikat tersebut.

“Pelaburan-pelaburan ini menjadi teras utama bagi program GEAR-UP dengan tujuan untuk memacu pertumbuhan ekosistem ekonomi baharu dan meningkatkan penyertaan GLIC dalam ikhtiar pembangunan negara.

“Enam GLIC yang terlibat ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, enam GLIC berkenaan turut akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat bersama, iaitu ‘Menaikkan Siling’ kedudukan ekonomi negara dan ‘Menaikkan Lantai’ kualiti hidup rakyat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui penglibatan menyeluruh ini, GLIC akan meningkatkan tumpuan mereka kepada pelaburan tempatan dan modal yang dilabur ini boleh memanfaatkan semua rakyat serta melahirkan ekosistem-ekosistem ekonomi baharu.

Jelas beliau, dengan jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai lebih daripada RM1.8 trilion, yakni sekitar saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal, GLIC tersebut mempunyai kekuatan kewangan untuk menggerakkan lonjakan negara di rantaian nilai ekonomi dan menambah baik mutu kehidupan rakyat.

Tambah kenyataan itu lagi, melangkaui pelaburan modal, GLIC dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan menerajui usaha untuk memberi impak bagi meningkatkan kehidupan pekerja-pekerja di organisasi serta ekosistem masing-masing, termasuklah di dalam syarikat-syarikat pelaburan mereka.

“Ini merangkumi, antara lain, komitmen untuk memastikan pekerja-pekerja menerima gaji wajar sebanyak RM3,1001, serta menyelaraskan penanda aras gaji pada masa hadapan dengan laporan tahunan Belanjawanku oleh KWSP,” katanya.

Anda Mungkin Berminat