Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor telah berjaya menahan dua lelaki warga asing dan empat lelaki warganegara tempatan berumur antara 17 hingga 27 tahun yang terlibat dalam aktiviti perlumbaan pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Kumarasan Muniandy, pihaknya telah mengadakan satu operasi samseng jalanan di sekitar Lebuh Medini Utama, Iskandar Puteri, Johor.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, lokasi ini dikenalpasti sebagai ‘hot spot’ kumpulan kereta berkumpul dan melakukan aktiviti lumba haram dengan aksi ‘drag’ pada malam minggu.

“Aktiviti ini telah mendatangkan persepsi tidak baik dan mengganggu ketenteraman awam masyarakat sekitar dengan bunyi bising dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Selain daripada itu, turut menyita enam buah motokar di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan 30 buah motokar di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, sebanyak 48 keping saman polis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Justeru itu, Kumarasan menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba mempromosikan aktiviti samseng jalanan di kawasan Iskandar Puteri jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain serta mengganggu ketenteraman awam.
Baca juga: