JOHOR BAHRU: Seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam operasi bersepadu di sekitar bandar raya ini, semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang dijalankan pada jam 11 pagi itu melibatkan Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Kutip dengan tumpuan di beberapa premis perniagaan.
“Serbuan dibuat di premis menjahit pakaian, kilang logam dan kedai makan yang menggaji warga asing. Hasilnya, 60 warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai menyalahgunakan pas lawatan untuk tujuan bekerja,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki Myanmar, enam lelaki Indonesia, seorang lelaki Sri Lanka, lima lelaki India, lima lelaki Bangladesh, seorang lelaki Pakistan, lima lelaki Kemboja, 10 wanita Myanmar, empat wanita Indonesia, dua wanita India dan dua wanita Sri Lanka berusia antara 18 hingga 54 tahun.
Tiga warga tempatan yang disyaki menjadi pengurus premis turut ditahan kerana melindungi pekerja asing terbabit.
Menurut Mohd Rusdi, kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sepanjang operasi, sebanyak 13 borang saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan. JIM Johor akan terus mempergiatkan operasi dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau aktiviti menyalahi undang-undang membabitkan warga asing,” katanya.
Baca juga: