PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tampil membidas kenyataan bekas Timbalan Menteri, Ti Lian Ker, dan bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim, yang menggambarkan PAS sebagai lebih berhemah dan rasional berbanding UMNO.
Dalam satu kenyataan di Facebooknya padq Ahad, Puad mempersoalkan tindakan kedua-dua tokoh tersebut yang didakwa ‘mensucikan’ PAS tanpa menilai sejarah serta pendirian sebenar parti itu, termasuk isu kontroversi berkaitan “Amanat Hadi” yang sehingga kini tidak pernah ditarik balik.
“Amanat itulah yang menjadi punca kepada budaya kafir-mengkafir yang menular suatu ketika dahulu, dan PAS sering dilihat gemar menghukum, itu halal, ini haram.
“Apakah ini yang dianggap sebagai berhemah oleh Ti dan Zaid?” katanya.
Menurutnya, sepanjang sejarah, mana-mana parti politik bukan Melayu yang tidak menjalin kerjasama dengan PAS sering dituduh anti-Islam, manakala pihak yang bersama PAS dianggap ‘disucikan’.
Beliau turut membangkitkan bagaimana satu ketika dahulu PAS pernah memuji DAP sebagai lebih memahami Islam berbanding UMNO semasa era kerjasama dalam Pakatan Rakyat, namun kini menuduh DAP sebagai anti-Islam.
“PAS juga pernah berbaik dengan Hindraf melalui ‘PASDRAF’, tetapi kini situasi berubah. Di mana nilai berhemah yang dikatakan?” soalnya lagi.
Tegas beliau, UMNO antara parti yang lebih awal mengamalkan konsep kerjasama politik antara kaum melalui penubuhan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN), jauh sebelum PAS menukar pendekatannya terhadap parti-parti bukan Melayu.
Beliau turut mengimbas kembali penolakan dalaman dalam PAS terhadap cadangan penubuhan Chinese Consultative Council (CCC) oleh bekas Naib Presiden PAS, Nakhaie Ahmad, sehingga menyebabkan beliau keluar daripada parti dan menyertai UMNO.
“UMNO tidak pernah berdolak-dalik dalam memperjuangkan kepentingan Melayu berlandaskan Perlembagaan, termasuk mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan prinsip kontrak sosial,” jelasnya.
Tambah beliau, berbeza dengan dakwaan sesetengah pihak, perjuangan nasionalisme UMNO tidak ekstrem seperti fahaman perkauman sempit yang merosakkan.
“UMNO tidak pernah mempromosi genosid atau penghapusan kaum seperti yang dilakukan oleh Hitler terhadap Yahudi,” katanya.
Baca juga: