JOHOR BAHRU: Program Digital Innovation Creativepreneur 3.0 (DICE 3.0) mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Most Digital Start-up Projects by Students in an International Programme’.
Majlis yang berlangsung di Persada Johor Bahru menyaksikan sebanyak 64 projek digital kreatif dipersembahkan oleh 320 peserta dari institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara bersama rakan serantau dari Indonesia, Thailand dan Brunei.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti keberanian generasi muda mencipta solusi masa depan.
“DICE bukan sekadar pertandingan tetapi sebuah ekosistem keusahawanan pelajar yang dinamik dengan latihan, bimbingan pakar, sokongan industri dan ruang inkubasi untuk mereka terus berkembang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, projek-projek yang dipamerkan merangkumi pelbagai genre digital seperti animasi, filem pendek, aplikasi permainan digital serta media interaktif berasaskan VR/AR yang menampilkan kreativiti dan semangat keusahawanan yang tinggi.
Katanya, sejak diperkenalkan pada tahun 2023, DICE telah melahirkan 156 syarikat pemula (start-ups) dengan penyertaan lebih 742 pelajar, disokong oleh lebih 30 rakan industri.
“Kejayaan DICE memberi mesej bahawa universiti bukan sekadar medan menimba ilmu tetapi platform mencorak masa depan melalui inovasi.
“Universiti Tokyo telah membuktikan dengan program AI Startup yang berjaya melahirkan ramai pelajar menjadi usahawan dan saya yakin model ini boleh dijadikan inspirasi universiti tempatan,” katanya.
Menjelang November, Zambry berkata, beberapa universiti dari Asia termasuk Universiti Tokyo akan dibawa menyertai Festival of Ideas bagi memperkukuh ekosistem bakat digital dan keusahawanan serantau.
“Tahniah kepada semua peserta, penganjur, UniSZA selaku tuan rumah, rakan strategik seperti MDEC, Cradle Fund, GIG Ventures dan Warnakala Studios serta seluruh warga KPT yang menjayakan DICE 3.0,” katanya.