640 tan kelapa tua dibawa masuk atasi kekurangan santan di pasaran

Oleh: Alyaa Azmi

PARLIMEN | Kenaikan harga santan segar sejak November lalu berpunca daripada kekurangan bekalan kelapa serta peningkatan harga kelapa import dari Indonesia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau menjelaskan, lonjakan harga kelapa import berlaku kerana bekalan terhad serta peningkatan eksport ke China, sekali gus memberi kesan kepada harga kelapa tempatan yang semakin tinggi disebabkan permintaan meningkat.

“Ramai petani tempatan lebih cenderung menjual kelapa muda kerana harganya lebih tinggi dan tempoh tuaian lebih singkat. Keadaan ini menjejaskan bekalan kelapa tua untuk pemprosesan santan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Selain itu, katanya lagi, faktor cuaca seperti kemarau dan banjir turut mempengaruhi hasil kelapa, menyebabkan pengeluaran tidak menentu.

Bagi menangani isu ini, Mohamad berkata kerajaan telah mengambil langkah intervensi melalui pengurusan bekalan, penyelidikan serta sokongan berterusan untuk memastikan harga santan lebih stabil dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

Laporan Perangkaan Agromakanan Malaysia 2023 menunjukkan pengeluaran kelapa tempatan meningkat kepada 623,663 tan berbanding 536,606 tan pada 2019, namun permintaan juga meningkat daripada 22.7 kg per kapita pada 2019 kepada 24.9 kg pada 2023.

Sebagai langkah segera, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membawa masuk 640 tan kelapa tua setiap bulan dari Indonesia, Sabah dan Sarawak bagi memenuhi keperluan Semenanjung, terutama ketika musim perayaan.

Untuk penyelesaian jangka sederhana, kerajaan melaksanakan program Pembangunan Industri Kelapa 2021-2025 yang menyediakan insentif bagi meningkatkan pengeluaran kelapa tempatan melalui skim tanam semula dan pemulihan ladang.

Petani digalakkan menanam varieti kelapa berproduktiviti tinggi seperti Kelapa Matag, Malayan Red Dwarf (MRD), Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Kelapa Pandan bagi memastikan bekalan lebih stabil dalam jangka panjang.

Bagi menyokong usaha ini, dana RM15 juta telah diperuntukkan sejak 2021, termasuk untuk pengeluaran 1.2 juta benih kelapa berkualiti tinggi, dengan tambahan peruntukan RM3 juta tahun ini bagi memperkukuh pengeluaran benih melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat