SHAH ALAM: Seramai tujuh pelajar dari Selangor yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi selepas menunaikan ibadah Umrah dilaporkan selamat dan kini menunggu proses penghantaran pulang ke Jordan.
Mereka sepatutnya kembali ke Jordan pada 28 Februari lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan bahawa wakil kerajaan negeri telah berhubung dengan pegawai Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah bagi memastikan kebajikan semua pelajar terjamin.
“Alhamdulillah, semua pelajar telah ditempatkan di Konsulat selama satu malam dan kemudian dipindahkan ke hotel berhampiran selama dua hari sementara menunggu penghantaran pulang melalui bas pada 3 Mac, pukul 10.30 pagi waktu Jeddah (3.30 petang waktu Malaysia),” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata, perjalanan pulang dijangka mengambil masa 24 jam.
Selain tujuh pelajar Selangor, terdapat juga 12 pelajar Malaysia lain di Jordan yang menghadapi nasib sama.
“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah atas bantuan mobilisasi dan perlindungan yang diberikan kepada semua pelajar,” katanya.
Kerajaan Negeri Selangor turut menegaskan komitmen untuk terus memantau situasi di Timur Tengah bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar Selangor sentiasa terpelihara.








