7 Premis Makanan Di Sekitar Bukit Bintang Diarah Tutup

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan tujuh premis makanan di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang, ditutup susulan pelbagai pelanggaran syarat kebersihan dan perlesenan.

Dalam Operasi Penguatkuasaan Kesihatan yang dijalankan, sebanyak 80 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk beroperasi tanpa lesen, pekerja tidak mendapatkan suntikan tifoid atau kursus pengendali makanan, tidak memasang perangkap minyak, serta penyelenggaraan perangkap minyak yang lemah.

Pemeriksaan turut menemui lantai dapur kotor, kesan najis tikus, urungan lipas, makanan diletakkan di atas lantai, serta pembuangan darah atau cecair kotor terus ke longkang awam.

DBKL memaklumkan operasi ini dijalankan secara berkala bukan sahaja untuk menguatkuasakan undang-undang, tetapi juga mendidik peniaga agar menjaga kebersihan dan mematuhi standard keselamatan makanan.

“Kerjasama peniaga amat penting untuk memastikan persekitaran bersih dan imej bandar sentiasa terpelihara, sekali gus memberi kesan positif kepada pelancong dan masyarakat tempatan,” kata DBKL dalam kenyataan.

Langkah ini selari dengan usaha pihak berkuasa menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar berdaya huni, selamat dan menarik untuk dikunjungi.

Terdahulu, DBKL menjalankan operasi penguatkuasaan di sekitar ibu kota, dengan beberapa premis turut dikenakan kompaun dan diarahkan tutup selepas didapati melanggar syarat yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat