PETALING JAYA: Undang-undang berkenaan lesen media sosial bermula 1 Januari 2026 tetap diteruskan biar pun masih ada platform yang tidak memberi kerjasama sepenuhnya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula akan meneruskan sesi libat urus dengan penyedia pelantar media sosial bagi memastikan pematuhan tersebut.
“Ada platform yang sangat proaktif, tetapi ada juga yang apabila kita salurkan aduan atau maklumat, langsung tidak diendahkan,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama baru-baru ini.
Fahmi berkata meskipun pelantar media sosial dengan lebih lapan juta pengguna tidak perlu memohon lesen secara rasmi seperti diumumkan oleh MCMC sebelum ini, namun undang-undang Malaysia tetap terpakai ke atas mereka.
Beliau berkata ini kerana kerajaan mahu memastikan platform media sosial di Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan dan aktiviti di platform masing-masing.
“Kita sudah beri peluang … ada yang akur, ada yang memberikan pelbagai alasan. Tetapi realitinya, masalah jenayah dalam talian tidak berkurangan, malah semakin merisaukan,” katanya.
Fahmi turut merujuk laporan antarabangsa yang mendedahkan bahawa terdapat pelantar tertentu yang menjana pendapatan melalui iklan penipuan, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai tanggungjawab penyedia perkhidmatan digital.
“Atas dasar itu dan mengambil kira apa yang berlaku di negara lain, kerajaan melihat ada kewajaran untuk mentakrifkan ataupun menyifatkan semua platform media sosial sebagai telah dilesenkan. Tak perlu melalui proses pelesenan tapi undang-undang negara terpakai,” katanya.
Mengulas kemungkinan tentangan daripada pelantar besar, termasuk syarikat teknologi global, Fahmi berkata kerajaan tidak boleh terus menunggu sedangkan mangsa penipuan dan penyalahgunaan digital terus bertambah.
“Saya masih ingat, sehari sebelum Krismas 2024, wakil sebuah platform besar menghubungi saya dan menyatakan kesediaan untuk menghantar aplikasi (mereka), tetapi setahun berlalu tanpa sebarang tindakan. Mangsa scam dan mangsa penyalahgunaan AI tidak boleh menunggu.
“Saya berpandangan semua platform perlu akur dan bekerjasama untuk memastikan Internet selamat untuk semua, terutama kanak-kanak dan keluarga. Ini soal tanggungjawab, bukan semata-mata kawalan,” katanya.
MCMC sebelum ini memaklumkan bahawa pelantar media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia tidak lagi diwajibkan memohon lesen operasi, namun tetap tertakluk sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang negara, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan lain.
Langkah itu, antara lain bertujuan memastikan penyedia pelantar bertanggungjawab dalam menangani kandungan menyalahi undang-undang, termasuk penipuan dalam talian.
Hal ini susulan kes penipuan dalam talian yang berlipat ganda, selain peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, serta kegiatan perjudian dalam talian yang dilihat sukar dibendung.
Baca juga:








