KUANTAN: Program Ihya Ramadan Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026/1447H berlangsung meriah pada Jumaat di Masjid Taman Balok Makmur dengan kehadiran wakil jawatankuasa masjid dan surau kebenaran Jumaat dari kedua-dua parlimen.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah ringkas oleh Ustaz Uwais Al-Qarni yang menyentuh tentang kemuliaan dan kelebihan bulan Ramadan serta mengingatkan jemaah mengenai pentingnya mensyukuri keamanan yang dikecapi selama ini.
Dalam usaha menyokong peranan masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan kepada 45 buah masjid dan surau di Parlimen Indera Mahkota serta 29 buah di Parlimen Kuantan.
Menerusi inisiatif itu, setiap masjid menerima RM5,000 manakala surau menerima RM3,000.
“Semoga sumbangan ini dapat melancarkan kelangsungan program yang telah dirancang sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan menyalurkan peruntukan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi menyantuni keperluan institusi masjid dan surau di kawasan itu.
Turut hadir Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan, Mohammad Khairuddin Abdul Aziz yang bersama-sama memeriahkan majlis.








