76 PATI ditahan dalam operasi penguatkuasaan Imigresen Selangor

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan penempatan warga asing sekitar Shah Alam dan Kajang, Selangor pada awal pagi Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi penguatkuasaan yang bermula pada pukul 12.15 pagi itu dilakukan susulan aduan awam mengenai PATI yang tinggal tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan seramai 113 pegawai dari pelbagai bahagian termasuk Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Dalam operasi ini, seramai 374 warganegara asing diperiksa dan hasilnya seramai 76 orang PATI yang berumur antara 20 hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan dan India,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Zakaria berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti adalah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal lebih masa mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Katanya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Jabatan akan terus mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Atipsom 2007,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat