KLANG: Penduduk digemparkan dengan penemuan mengejutkan apabila sebuah rumah di kawasan kejiranan telah dijadikan reban ayam oleh warga Rohingya dan Myanmar dengan menempatkan sebanyak 78 ekor ayam.
Keadaan premis bukan sahaja menjijikkan, malah membahayakan kesihatan awam.
Susulan aduan oleh penduduk setempat, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bertindak pantas apabila menjalankan Operasi Penguatkuasaan Aduan Warga Asing Membela Ayam Dalam Kediaman yang melibatkan Jabatan Kesihatan Awam, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa.
Hasil siasatan mendapati pemilik premis terdiri daripada warga asing dan tindakan segera telah diambil.
“Semua ayam disita di bawah Seksyen 81(K) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menimbulkan kacau ganggu awam.
“Notis pembersihan dikeluarkan bagi memastikan kawasan bebas dari risiko penyakit dan pencemaran,” kata MBDK dalam satu hantaran di Facebook.
Orang ramai diminta untuk membuat aduan dan salurkan bukti jika terdapat kes seumpamanya di talian Aduan MBDK 0333714404.








