TELUK INTAN: Sekurang-kurangnya lapan dilaporkan maut dalam nahas melibatkan sebuah kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertembung dengan lori muatan batu di Jalan Chikus -Sungai Lampam, Perak pada Selasa.
Kejadian tersebut mengakibatkan lapan anggota FRU maut, manakala beberapa lagi cedera parah akibat tersepit.
Memetik laporan media tempatan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau turut mengarahkan beberapa pasukan JBPM untuk segera ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat.
Menurutnya, panggilan kejadian itu diterima JBPM Teluk Intan pukul 8.54 pagi melibatkan kenderaan FRU membawa 15 penumpang dan pemandu.
Difahamkan, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas Op Chariot di Teluk Intan.