8 keputusan dicapai sepanjang KEB 2024 – PM

Hasil Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berlangsung pada 29 Februari hingga 3 Mac lalu telah mengangkat lapan keputusan penting untuk mengangkat martabat ekonomi golongan Bumiputera di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan lapan keputusan berkenaan pada majlis penutupan KEB 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam hari Sabtu.

Keputusan pertama yang diputuskan hasil dari kongres tersebut ialah kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan Generasi Baharu Usahawan Bumiputera dalam bidang berpertumbuhan tinggi.

Seterusnya, keputusan kedua ialah membangunkan Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik di samping mengekalkan 200 ekar tanah kerajaan dan 50 ekar tanah di bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu.

Keputusan ketiga pula ialah kerajaan mahu melatih 00,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

Keputusan empat ialah inisiatif untuk Menubuhkan Wakaf MARA MADANI dengan peruntukan RM100 juta sebagai geran pelancaran.

Selain itu, keputusan kelima ialah kerajaan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi mendukung pembangunan vendor tempatan.

Keputusan keenam ialah semua Kementerian dan agensi Kerajaan serta syarikat milik kerajaan (GLC) hanya dibenarkan membeli cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha Bumiputera bagi memartabatkan dan menyokong hasil seni para pengusaha tempatan.

Keputusan ketujuh ialah kerajaan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui Institusi Kewangan Pembangunan seperti BSN, Agrobank, dan TEKUN Nasional.

Akhir sekali, keputusan kelapan ialah kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig.

Anwar turut menekankan bahawa dasar afirmatif tetap akan diteruskan bagi memastikan keadilan sosial untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal, terutamanya kumpulan rakyat termiskin.

Beliau turut menyeru rakyat untuk bersatu padu untuk memulihkan ketempangan dalam sosioekonomi Bumiputera ke arah mencapai wadah ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat