80 Murid Tidak Dapat Duduki UPKK, JAKIM Tegas Kepentingan Pendaftaran Sah Sekolah Agama

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan seramai 80 murid dari Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra, Puchong, tidak layak menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) bagi tahun 2025 kerana tidak didaftarkan secara rasmi sebagai calon.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, semakan mendapati nama murid-murid terbabit tidak tersenarai dalam Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI), iaitu platform rasmi pendaftaran calon UPKK di seluruh negara.

“JAKIM memahami kekecewaan ibu bapa, namun peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut prosedur ketat dan hanya calon berdaftar dibenarkan menduduki peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, hasil semakan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati sekolah berkenaan belum berdaftar di bawah JAIS dan beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan ia tidak memenuhi syarat pendaftaran sekolah agama Islam swasta seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988.

Susulan itu katanya, JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah pada 3 November lalu bagi menjelaskan prosedur pendaftaran dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk membolehkan pelajar menduduki peperiksaan UPKK secara sah.

“Pihak sekolah disarankan segera mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan serta mempertimbangkan langkah memindahkan murid ke sekolah berdaftar di bawah pihak berkuasa agama negeri,” ujarnya.

Beliau turut berkata, JAKIM bersedia memberi panduan dan khidmat nasihat kepada mana-mana institusi pendidikan Islam swasta bagi memastikan mereka beroperasi mengikut saluran sah dan berdaftar dengan jabatan agama negeri masing-masing.

Katanya, pelaksanaan UPKK perlu dijalankan dengan tertib, berintegriti dan adil kepada semua calon bagi menjamin kelancaran serta keseragaman peperiksaan di seluruh negara.

Untuk rekod, UPKK merupakan pentaksiran kebangsaan bagi murid Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di bawah seliaan JAKIM.

Peperiksaan itu menilai kefahaman serta penghayatan asas-asas Islam dan menjadi antara syarat utama bagi pengiktirafan pembelajaran agama peringkat rendah di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat