81 rumah mangsa kebakaran Putra Heights siap sepenuhnya Jun 2027

SHAH ALAM: Sebanyak 81 unit rumah yang musnah akibat insiden kebakaran saluran paip gas milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, dijangka siap secara berperingkat bermula Oktober ini sehingga Jun 2027.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerja pembinaan dan pembaikan melibatkan penduduk di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru sudah mencapai 24 peratus sejak dimulakan 1 Mei lalu.

Beliau berkata, Sime Darby Property diberi tanggungjawab membina dan membaiki rumah di Taman Putra Harmoni memandangkan syarikat itu merupakan pemaju utama kawasan berkenaan dan mahir dengan pelan asal kediaman.

“Ini membolehkan proses pembinaan semula berjalan lebih pantas berbanding melantik pemaju baharu.

Bagi Kampung Kuala Sungai Baru, kerja baik pulih dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan dijangka siap Oktober ini.

Taman Putra Harmoni pula diberikan tempoh sehingga 24 bulan, iaitu sehingga Jun 2027,” katanya ketika membentangkan usul khas berhubung kejadian itu di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurutnya, penilaian semasa mendapati sebanyak 20 rumah akan dibina semula, 52 unit akan dibaiki, manakala 46 lagi masih dalam proses akhir penilaian struktur dan ujian titik retak.

Beliau turut memaklumkan kos siling pembinaan bagi rumah yang musnah sepenuhnya ditetapkan sebanyak RM300,000, manakala rumah separa musnah RM150,000, dan RM30,000 bagi kerosakan kecil.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga sudah mengagihkan RM2.73 juta kepada 455 keluarga yang terjejas, dengan setiap isi rumah menerima RM6,000 untuk bayaran sewa selama tiga bulan.

“Kita sedang memuktamadkan bantuan tambahan wang sewa kepada penduduk yang masih belum dapat menduduki kediaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini, jumlah tuntutan difailkan penduduk mencecah RM1.34 juta, dan mereka diberi sehingga 27 Oktober ini untuk menyerahkan semua dokumen berkaitan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat