Sebanyak 821 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga mengakibatkan tiga kematian direkodkan sepanjang tempoh Op Selamat 21 yang berakhir pada 13 Februari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi tersebut dijalankan untuk memberi tumpuan kepada kawalan lalu lintas di sekitar Kuala Lumpur selain mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan.
“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) telah membuat pemantauan di 50 lokasi ‘hotspot’ dan 11 lokasi ‘blackspot’ sepanjang Op Selamat 21.
“Selain itu sebanyak 821 kes kemalangan jalan raya direkodkan dan polis turut mengeluarkan 26,714 saman dan sebanyak 36 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Pihak JSPT KL juga berjaya membuat 20 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk 11 kes samseng jalanan, lima kes melibatkan ulat parkir, dua kes pemalsuan dokumen, satu kes membabitkan dadah dan air ketum.

Allaudeen berkata, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 30(3) Akta Racun.
Tambahnya, Polis Kuala Lumpur menasihatkan kepada pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang tidak kira semasa atau selepas musim perayaan bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk semua lapisan pengguna jalan raya.
Baca juga: