82,896 Tiket Terjual Dalam 24 Jam, KTMB Catat Rekod Baharu

PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatat sejarah baharu apabila sebanyak 82,896 tiket untuk perjalanan Januari hingga April 2026 habis terjual hanya dalam tempoh 24 jam selepas jualan dibuka pada Isnin.

Daripada jumlah itu, hanya 79 transaksi atau 0.09 peratus tidak berjaya diproses.

KTMB memaklumkan bahawa pemulangan wang sedang dilakukan mengikut prosedur bank dalam tempoh sehingga 14 hari.

Ketua Pegawai Teknikal KTMB yang memangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, lonjakan mendadak itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan rel negara.

“Sambutan luar biasa ini membuktikan tren kekal pilihan utama rakyat.

“Walaupun gangguan transaksi sangat kecil, KTMB komited menambah baik sistem bagi memastikan pembelian lebih lancar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sistem tempahan KITS beroperasi normal, namun menerima capaian sangat tinggi kerana jualan tiket merangkumi musim puncak seperti Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan cuti sekolah, selain penyusunan semula jadual tren yang lebih kompleks.

Ahmad Nizam turut menekankan bahawa penyelarasan jadual bagi pembukaan jualan 2026 mengambil kira peluasan perkhidmatan ETS ke Johor Bahru, yang berkongsi landasan dengan tren Intercity, Komuter dan kargo.

KTMB dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan atas komitmen menambah set tren baharu secara berfasa bagi meningkatkan kekerapan dan kapasiti perjalanan.

Untuk rekod, permintaan tinggi terhadap perkhidmatan tren dijangka terus meningkat seiring dengan peluasan rangkaian rel negara serta kecenderungan rakyat memilih pengangkutan awam untuk perjalanan jarak jauh.

Anda Mungkin Berminat