PETALING JAYA: Walaupun cuaca semakin cerah di kebanyakan negeri sejak Isnin, ribuan mangsa banjir masih belum dapat kembali ke rumah masing‑masing.
Menurut laman sesawang InfoBencana, setakat pukul 7.30 pagi, seramai 8,457 mangsa daripada 2,648 keluarga masih berlindung di 136 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri.
Perak kekal sebagai negeri paling terjejas, dengan 3,458 mangsa ditempatkan di 21 PPS.
Perlis turut mencatat angka tinggi dengan 2,217 mangsa, manakala Selangor merekodkan 1,839 mangsa di 27 PPS.
Di negeri lain, situasinya lebih terkawal namun masih membimbangkan dengan Terengganu (257 mangsa), Kelantan (233), Pahang (243), Kedah (192), Sarawak (14) dan Kuala Lumpur (4).
Golongan rentan terus menjadi tumpuan di PPS dengan jumlah seramai 1,270 warga emas, 2,660 kanak‑kanak termasuk 220 bayi serta 274 orang kurang upaya (OKU) kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan di pusat pemindahan.
Walaupun jumlah keseluruhan mangsa menurun berbanding 14,040 orang pagi Isnin, beberapa kawasan masih berdepan risiko.
Data Public Infobanjir menunjukkan beberapa sungai dan empangan belum menunjukkan tanda surut, malah ada yang berada pada paras bahaya termasuk Empangan Timah Tasoh di Perlis, Sungai Slim dan Sungai Bidor di Perak, serta Pintu Air Ijok di Selangor.
Beberapa stesen lain pula berada pada paras amaran, antaranya di Rimba KDR (Selangor), Cheng U/S dan Sungai Siput (Perak), Sungai Kesang (Johor) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (Kelantan).








