PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa 85 peratus pengguna domestik di Malaysia menerima bil elektrik yang lebih rendah bermula Julai 2025 susulan pelaksanaan penstrukturan tarif elektrik yang baharu.
Menurut Anwar, walaupun terdapat dakwaan pihak tertentu bahawa bil elektrik rakyat meningkat, data rasmi menunjukkan majoriti rakyat menikmati penurunan sehingga 14% bagi penggunaan tenaga yang sama berbanding separuh pertama tahun ini.
“Sebahagian pihak cuba menimbulkan keresahan dengan menyebar maklumat tidak tepat. Hakikatnya, 85% pengguna domestik mencatat bil elektrik lebih rendah,” katanya dalam ucapan khas bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia di Putrajaya pagi tadi.
Penstrukturan tarif ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan menyasarkan subsidi secara lebih adil dan berkesan, agar manfaat dinikmati oleh rakyat biasa yang benar-benar memerlukan bantuan.
Langkah itu juga seiring dengan ikhtiar kerajaan memperkukuh kecekapan sistem bekalan tenaga negara tanpa membebankan pengguna terbanyak.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan semua bentuk penyasaran subsidi – sama ada elektrik atau bahan api – dilaksanakan dengan jaminan bahawa rakyat biasa tidak akan terjejas, malah bakal menerima manfaat tambahan.
Sebagai contoh, Anwar turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan api dilaksanakan, dan langkah ini dijangka memberi faedah langsung kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia.
Baca juga: