PARLIMEN | Kerajaan memberi jaminan 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan dengan semakan semula jadual tarif elektrik di Semenanjung, sekali gus memastikan kos bil elektrik kekal berpatutan bagi majoriti rakyat.
Menurut Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, jadual tarif baharu yang berkuat kuasa 1 Julai lalu itu disusun semula bagi memastikan pengguna dengan penggunaan elektrik 1,000 kilowatt jam (kWj) ke bawah sebulan tidak mengalami sebarang kenaikan bil, sekiranya penggunaan kekal seperti bulan sebelumnya.
Katanya, struktur baharu itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan keperluan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup.
“Ini kerana pengguna dalam kategori itu akan menerima insentif cekap tenaga, yang bukan sahaja membantu mengekalkan kadar bil sedia ada, malah menggalakkan penggunaan elektrik secara berhemah,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari, pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat mengenai matlamat jadual tarif elektrik baharu serta penjelasan kerajaan terhadap dakwaan ia membebankan rakyat dan langkah atasi kekeliruan awam.
Fadillah menegaskan semakan semula jadual tarif adalah perlu berikutan perubahan ketara dalam industri tenaga elektrik sepanjang 10 tahun lalu, sekaligus menyokong agenda peralihan tenaga negara serta sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
“Bagi pengguna domestik yang mencatatkan penggunaan 600 kWj dan ke bawah, kerajaan turut memberi pengecualian terhadap caj peruncitan dan kos pelarasan bahan api automatik (AFA), sebagai sebahagian daripada langkah meringankan beban rakyat.
“Sebagai tambahan, kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga dan TNB turut mengedarkan infografik untuk menerangkan komponen baharu dalam struktur tarif, agar rakyat tidak keliru dan lebih memahami bil elektrik masing-masing,” katanya lagi.
Baca juga: