8,507 Fail Rekod Kolonial British Perkaya Penyelidikan Sejarah Malaysia – Menteri

KUALA LUMPUR: Koleksi British Colonial Office kini boleh diakses menerusi pangkalan digital antarabangsa yang diperkenalkan oleh Arkib Negara Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata Koleksi British Colonial Office merupakan khazanah penting yang menghimpunkan rekod rasmi pentadbiran British dari abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20, termasuk dokumen berkaitan sejarah dan perkembangan Malaysia.

Menurut beliau, koleksi tersebut merangkumi pelbagai maklumat melibatkan aspek pentadbiran, tadbir urus, hubungan antarabangsa serta kehidupan masyarakat di wilayah tanah jajahan British, termasuk Tanah Melayu, Singapura, Borneo dan Brunei.

“Koleksi digital ini melibatkan sebanyak 8,507 fail dengan 1,131,112 imej atau muka surat yang meliputi tempoh dari tahun 1759 hingga 1967. Ia merangkumi rekod Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu, sekali gus menjadi sumber rujukan sejarah yang sangat bernilai,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Aaron berkata inisiatif pendigitalan koleksi berkenaan selari dengan agenda transformasi digital sektor awam, khususnya dalam memudahkan akses kepada penyelidikan sejarah yang lebih pantas, sistematik dan efisien.

Tambah beliau, usaha ini bukan sahaja memperkukuh penggunaan sumber sahih dalam kajian sejarah, malah berperanan penting dalam mempertahankan fakta sejarah negara serta menyokong pembinaan jati diri dan negara bangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat