Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Seramai 8,909 pelajar menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran sekolah menengah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi kemasukan sesi 2025.
Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, seramai 93,635 pelajar yang telah membuat permohonan untuk kemasukkan ke tingkatan satu dan empat.

“Daripada 93,635 yang menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM), 21,994 bersamaan 35.91 peratus lulus.
“Manakala, yang ditawarkan tempat ke MRSM adalah seramai 8,909 orang iaitu 7,229 orang (tingkatan 1) dan 1680 (tingkatan 4).
“Tawaran ini mengikut kekosongan. Yang mana tidak dapat tawaran sehingga 11 April 2025 dianggap tidak berjaya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, sebanyak 60 peratus pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), luar bandar dan berpendapatan rendah telah berjaya lulus dengan cemerlang sewaktu menduduki UKKM.

Namun begitu, pada tahun sebelum ini, beliau menyatakan bahawa, sebanyak 25 peratus sehingga 30 peratus pelajar yang ditawarkan ke MRSM, malah mengambil tindakan untuk menolak atas pelbagai sebab.
Sebagai info, MRSM telah membuka semakan tawaran pada hari ini bermula 12 tengah hari secara dalam talian dan makluman kepada pemohon berjaya telah dihantar melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau email yang didaftarkan semasa permohonan dibuat.
Pemohon yang tidak membuat pengesahan terima dalam tempoh tujuh hari dianggap menolak tawaran.
Bagi pemohon yang layak dan masih belum mendapat tawaran boleh membuat semakan pada 13 Januari, semakan kedua (27 Januari), semakan ketiga (3 Mac) dan semakan keempat (17 Mac).
Baca juga: